Politik Sabah berpaksi pembangunan, ekonomi, kestabilan
KOTA MARUDU - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata "politik di Sabah masih berpaksikan kepada politik pembangunan, ekonomi dan kestabilan sebagai jaminan masa depan untuk kemakmuran rakyat dan negeri."
Beliau berkata lagi "rakyat Sabah masih memerlukan banyak pembangunan dan ia menuntut usaha berterusan kerajaan bagi menyalurkan keperluan yang belum dipenuhi agar rakyat di negeri ini terutama di luar bandar tidak ketinggalan.'
Beliau memberi contoh, di daerah ini, kerajaan mahu melihat ia membangun sebagai sebuah kawasan yang maju dan memiliki prasarana yang lengkap termasuk kemudahan jalan raya yang dihubungkan dengan Lebuhraya Pan Borneo.
"Prinsip kedua ialah dari segi ekonomi. Sabah harus dibangunkan sebagai negeri berpotensi yang baik, pendapatan perkapita yang sama dengan rakyat Malaysia keseluruhan, peluang kerja yang banyak dan potensi pelaburan.
"Elemen ketiga pula ialah politik kestabilan, ...kita perlukan kestabilan kerana tiada negara boleh maju tanpa kestabilan politik," katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Serentak Cawangan UMNO, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kota Marudu, di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Ketua UMNO Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata isu Sabah untuk Sabahan yang dilaungkan pihak pembangkang bertujuan memecahbelahkan rakyat dan tidak sewajarnya dipolitikkan kerana boleh menjejaskan keselamatan negara.
"Siapa kata Sabah untuk orang bukan dari Sabah, ia mesti untuk Sabahan, malah Perdana Menteri sanggup beri kuasa dalam banyak perkara untuk rakyat Sabah. Yang penting ialah rundingan dan ini yang dilakukan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Oleh itu jangan ada pecah belah kerana perbezaan politik. Kita boleh terima perbezaan tapi untuk kepentingan pertahanan dan keselamatan saya tidak boleh terima, ertinya kita boleh berbeza pendapat tetapi pastikan ia tidak menjejaskan keselamatan," katanya.
========================================
Sumber pautan
========================================
Berita harian
No comments: